SPM - Kebangkitan Nasionalisme- Pengertian Nasionalisme
Pengertian Nasionalisme Apakah yang dimaksudkan dengan nasionalisme? Terdapat beberapa tokoh terkemuka yang mempunyai pendapat masing – masing berkaitan dengan definisi nasionalisme. Nasionalisme menurut Hans Kohn adalah gerakan yang meletakkan kesetiaan seseorang hanya kepada negara atau bangsanya. Dr R Suntharalingam menerangkan bahawa nasionalisme adalah fenomena sejagat di mana fenomena ini mengiktiraf hak setiap bangsa di dunia ini dalam menubuhkan sesebuah negara dengan sendirinya. Seperti Hans Kohn, Dr R Suntharalingam turut menyentuh tentang nasionalimse sebagai tuntutan kesetiaan ulung individu disalurkan kepada negara bangsa. Idea nasionalisme dipengaruhi oleh pelbagai factor seperti sejarah, keturunan, agama, adat resam dan bahasa. Nasionalisme di Tanah Melayu telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Orang Melayu pada ketika itu berpegang kepada fahaman kebangsaan yang bersifat “ke tanah melayuan” seperti yang dinyatakan oleh Professor Dato Zainal Abidin Abdul Wahab. Semangat nasionalimse di Tanah Melayu ini juga menurut Professor William R. Roft timbul akibta kebimbangan masyarakat terhadap imperialism barat dan sekularisme yang melanda Tanah Melayu. Kebangkitan nasionalisme ini adalah berpunca daripada ancaman terhadapa kepentingan orang Melayu dan juga atas dasar faktor ekonomi. Ia semakin memuncak pada dekad terakhir sebelum Perang Dunia Kedua apabila wujudnya ketegasan diri dan kesedaran. Dr Burhanuddin Al Helmi telah menerangkan gerakan nasionalisme adalah berasaskan persatuan dan perpaduan yang kuat iaitu National Fronts. Berpegang pada tatatertib dan adab sopan bangsa Melayu dan agama Islam adalah penting dalam menentang penjajahan untuk mencapai kemerdekaan. Gerakan nasionalisme turut dikaitkan oleh Professor Emeritus Tan Sri Dato Khoo Kay Kim sebagai perjuangan orang melayu bagi mendapatkan kembali kedudukan yang unggul dalam negara sendiri. Dato Onn Jaafar juga menerangkan bahawa nasionalisme adalah penzahiran sesuatu bangsa yang lebih tegap dan kuat, boleh berdiri atas tapak kaki kita sendii dan mengambil tempat yang sebenar di sisi bangsa – bangsa lain yang tegap dan bersatu. Dengan ini dapat dirumuskan semangat nasionalisme memupuk semangat cintakan bangsa dan negara. Semangat nasionalisme ataupun dikenali sebagai semangat kebangsaan ini adalah berkaitan tentang perjuangan menentang penjajah demi membela bangsa dan negara. Secara kesimpulannya, nasionalisme dapat dikaitkan dengan lahirnya perasaan kekitaan dengan merujuk kepada persamaan kebudayaan dan pengalaman sejarah bagi membebaskan bangsa dan negara daripada penjajahan. Selain itu gerakan untuk membebaskan politik, ekonomi dan sosial daripada cengkaman penjajah asing turut dikaitkan dengan nasionalisme. Gerakan nasionalisme mempunyai tujuan yang sama dalam membina negara berdaulat dengan bangsa yang bersatu.
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorMempelajari, mendalami dan menghayati pengertian sejarah Malaysia tanah air kita. Archives
March 2023
Categories
All
|